Ads 468x60px

Pages

Sunday 20 November 2011

Contoh Cerita Lipur Lara

Hikayat Malim Deman

Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan memerintah negeri Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuanku Malim Deman. Pada suatu malam, Tuanku Malim Deman bermimpi didatangi seorang wali Allah menyuruh baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan untuk beristerikan Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan turun ke dalam taman nenek memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam purnama.
Sedar dari beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila bayang. Seisi istananya kehairanan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Baginda memohon pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri. Pada mulanya Tuanku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat jelata. Namun mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik. Akhirnya tinggallah Tuanku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si Kumbang pula mati lemas. Tinggallah Tuanku Malim Deman sendirian menempuhi berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas hanyut berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari kayangan yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya. Sebenarnya puteri ini telah ditunangkan dengan Medan Si Tangkal Ali tetapi tidak disukainya.
Tuanku Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan helah mereka baju layang Puteri Bongsu diambil oleh Tuanku Malim Deman. Akhirnya Tuanku Malim Deman membuka rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya. Mereka dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh kedua orang tuanya, lalu diadakan kenduri kahwin besar-besaran. Rakyat negeri Bandar Muar mengadakan pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan Tuanku Gombang Malim Dewa sendiri berkenduri membayar nazarnya.
Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri mangkat selang seminggu, taktha kerajaan diserahkan kepada Tuanku Malim Deman. Malangnya, Tuanku Malim Deman tidak cekap memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan dan berfoya-foya dengan wanita sehingga melupakan urusan negeri dan permaisurinya. Sehinggalah Puteri Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana pun, baginda tidak sudi pulang menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim Dewana boleh berjalan, jatuh bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu. Lantas diambil, sambil mendukung putera kecilnya, ia terbang melayang pulang ke kayangan. Disambut oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga. Setelah diketahui kedudukan sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan Mambang Molek seorang raja kayangan juga.

Setelah kehilangan isteri dan anak barulah Tuanku Malim Deman insaf dan menyesal akan perbuatannya selama ini. Baginda mengembara semula sehingga sampai semula ke rumah Nenek Kebayan. Baginda meminta bantuan nenek itu untuk berjumpa dengan keluarganya kembali. Nenek memberitahu baginda bahawa hanya burung borak sahaja yang mampu membawa baginda ke kayangan. Akan tetapi Nenek Kebayan tidak ketahui di mana burung tersebut berada untuk meminjamkan kepada baginda.

Tuanku Malim Deman meneruskan perjalanan dan pada suatu malam, sewaktu terlena di banir pokok, baginda bermimpikan kemunculan seorang wali Allah menyuruh baginda mengikut hulu sungai sehinggalah bertemu dengan Puteri Terus Mata anak Raja Jin Islam. Baginda sempat bertaubat di hadapan wali tersebut. Terjaga atau beradu, baginda menuruti pesanan wali Allah dalam mimpinya. Tuanku Malim Deman meminjam burung borak milik Puteri Terus Mata, untuk berlepas ke kayangan setelah menerima syarat daripada ayahanda Puteri Terus Mata, iaitu Raja Jin Islam supaya mengahwini puteri apabila pulang ke dunia semula. Baginda juga sempat berguru kepada Raja Jin Islam tentang segala ilmu dan hikmat bekalan cabaran di kayangan kelak. Puteri Terus Mata turut memberi tujuh kapur sirih hikmat kepada baginda untuk disantap juga mengatasi tujuh lautan halangan, lautan gelap, api, sejuk, kuning, hijau, masin dan bisa. Kemenyan mandung jati turut dibekalkan untuk menyeru kehadiran burung borak apabila baginda hendak pulang ke dunia semula.

Baginda tiba di rumah Nenek Kebayan di kayangan dan dilayan dengan penuh mesra. Baginda perkenalkan diri sebagai Malim Permainan kerana berkebolehan luar biasa bermain muzik. Malim Permainan hadir ke balai perkarangan istana lalu bermain muzik untuk menghiburkan puteranya Malim Dewana. Walaupun putera itu tidak mengenalinya, namun naluri hubungan ‘anak-bapa’ menyebabkan putera sering berada di atas ribaan sambil berhibur dengan permainan muzik oleh baginda. Dari bau minyak silompat pagar yang melekat pada tubuh puteranya, tahulah Puteri Bongsu bahawa Malim Permainan itu suaminya kerana minyak itu ditinggalkan sewaktu ke kayangan. Malim Permainan (Tengku Malim Deman) menyuruh Nenek Kebayan jualkan cincinnya kepada Puteri Bongsu kerana ‘kesuntukan belanja’. Puteri Bongsu membuka rahsia kepada Nenek Kebayan dan meminta Malim Permainan(Tengku Malim Deman) merebutnya semula daripada tangan Mambang Molek.
Tengku Malim Deman akhirnya dapat membunuh Mambang Molek di gelanggang sabung ayam. Dua orang saudaranya yang cuba menuntut bela juga terbunuh dan negeri menjadi huru-hara kerana rakyat Mambang Molek bertempur sesama sendiri kerana hikmat wali Allah. Tengku Malim Deman dikahwinkan sekali lagi dengan Puteri Bongsu di atas kayangan.
Setahun kemudian Tengku Malim Deman membawa Puteri Bongsu dan puteranya pulang ke Bandar Muar. Berkahwin dengan Puteri Terus Mata, puteri Raja Jin Islam sebagai menunaikan janji dan Tengku Malim Deman menjadi raja yang arif bijaksana serta pula gagah berani yang terlalu saktinya tiadalah berbanding zaman itu.

 (Dipadankan daripada Hikayat Malim Deman, Pawang Ana/Raja Haji Yahya, Fajar Bakti 1998)

Contoh Cerita Teladan

Cerita Bawang Putih Bawang Merah

Pada zaman dahulu ada sepasang suami isteri yang tinggal agak terpencil dari orang ramai. Si suami bernama Pak Ali dan Si Isteri bernama Mak Labu. Sungguhpun sudah lama mereka berumah tangga tetapi mereka masih belum mempunyai cahaya mata.

Pada suatu hari Pak Ali telah berterus terang dengan isterinya. “Labu, aku berhajat hendak b
eristeri seorang lagi kerana berkehendakkan anak, walaupun sudah lama engkau menjadi isteriaku tetapi engkau tidak dapat melahirkan anak.”
“Kalau bergitu niat abang, saya relalah abang berkahwin lain walaupun berat rasa hati ini,” beritahu Mak Labu terus terang.
“Terimakasih atas kerelaan engkau itu Labu. Aku akan bersifat sama adil bila aku beristerikan seorang lagi nanti,” janji pak Ali.
Akhirnya Pak Ali pun beristeri baru. Isteri barunya itu bernama Mak Kundur. Walaupun mereka bermadu tapi mereka tinggal serumah. Tepat seperti dijanjikan, Pak Ali melayan isteri-isterinya itu seadil-adilnya.
Setelah setahun berkahwin, dengan tidak disangka-sangka isteri tuanya yang disangka mandul itu mengandung empat bulan dan isteri mudanya mengandung tiga bulan.
“Syukur kepada Allah kerana tidak lama lagi aku akan mendapat dua orang anak sekaligus,” fikirnya dalam hati.
Apabila sampai masanya, kedua-dua orang isterinya itu pun melahirkan anak. Kedua-duanya anak perempuan belaka. Anak Mak Labu diberi nama Bawang Merah dan anak Mak Kundur bernama Bawang Putih. Nama-nama itu diambil sempena dengan tanaman Pak Ali yang sangat subur pada masa itu iaitu bawang merah dan bawang putih. Semenjak itu juga nama kedua-dua isterinya ditukar menjadi Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih. Masa terus berlalu. Kini umur kedua-dua anaknya telah mencapai dua belas tahun. Rupa kedua-dua gadis itu sangatlah cantik. Memang sukar anak-anak gadis di kampung itu hendak mengatasi kecantikkan Bawang Merah dan Bawang Putih. Tetapi kalau ditanya kepada Mak Bawang Putih siapakah yang lebih cantik, tentu Mak Bawang Putih akan menjawab Bawang Putih yang cantik. Jika ditanya kepada Mak Bawang Merah, Mak Bawang Merah akan menjawab yang kedua-duanya sederhana tidak ada siapa yang lebih cantik.
Tentang perangai pula, didapati Bawang Putih lebih nakal dan jahat. Disuruhnya Bawang Merah memasak nasi dan membuat kerja itu dan ini. Kalau di hadapan Pak Ali, Bawang Putih pandai pula bermuka-muka membuat kerja.
Pada suatu hari Pak Ali pergi mengail ikan dengan Bawang Merah. Hari itu nasib Pak Ali kurang baik kerana entah bagaimana Pak Ali disengat oleh seekor ikan sembilang yang baru sahaja mengena kailnya. Pak Ali memanggil anaknya Bawang Merah membantunya kerana tidak tahan menanggung kesakitan akibat disengat oleh ikan itu. Dengan perasaan yang cemas, Bawang Merah memapah bapanya pulang ke rumah.
Apabila sampai di rumah, kedua-dua isterinya terperanjat melihatkan Pak
Ali pulang dalam kesakitan. Mak Bawang Merah pergi menjemput Pawang Jidun iaitu seorang pawang yang terkenal di kampung itu. Pawang Jidun pun mengubat Pak Ali secara perubatan tradisional. Oleh kerana ajalnya telah sampai, perubatan Pawang Jidun tidak memberi apa-apa kesan. Pak Ali pun meninggal dunia. Pemergian Pak Ali yang kekal abadi itu ditangisi oleh keluarganya.
Semenjak Pak Ali meninggal dunia, perselisihan dan pergaduhan diantara Mak Bawang Merah dan Mak Bawang Putih selalu sahaja terjadi. Sebab utama tentulah hal anak-anak kerana mereka tinggal serumah jadi selalu sajalah mereka bertengkar.
Mak Bawang Putih sangat benci kepada Mak Bawang Merah. Dia sentiasa sahaja mencari peluang untuk menghapuskan Mak Bawang Merah. Pada suatu hari, peluang yang ditunggu-tunggu selama ini terbuka. Apalagi hanya mereka berdua sahaja yang berada ditempat itu. Kebetulan Mak Bawang Merah sedang menceduk air di perigi lama. Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan terus menolak Mak Bawang Merah ke dalam perigi. Oleh kerana perigi itu dalam, dia terus tenggelam dan lemas. Perigi itu jarangdigunakan. Selalunya mereka menggunakan perigi di hadapan rumah mereka.

"Mampuslah engkau!” jerit Mak Bawang Putih dengan geramnya.

Tiga jam berlalu tetapi Bawang Merah masih belum tahu kemana emaknya pergi. Sedang dia termenung dan bersedih hati memikirkan ibunya, tiba-tiba Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan memukulnya lalu Bawang Merah pun jatuh pengsan di situ juga dengan berlumuran darah keluar dari hidung dan mulutnya. Mak Bawang Putih yang tidak menaruh belas kasihan apabila melihat Bawang Merah pengsan itu, terus mengajak anaknya bersama-sama pergi ke rumah saudaranya.
Tidak berapa lama selepas itu, Bawang Merah tersedar dari pengsan. Dia menangis tersedu-sedu sambil memangggil-manggil nama emaknya. Puas dipanggil dan dicari namun tidak ada. Dia juga hairan kerana Mak Bawang Putih dan Bawang Putih juga tidak ada di rumah. Hari sudah malam tidak ada sesiapa yang pulang. Bawang Merah merasa cemas tinggal keseorangan diri di rumah yang di kelilingi hutan tebal itu. Pintu rumah dikunci rapat-rapat. Setelah jauh malam akhirnya dia pun tertidur.
Dalam tidurnya dia bermimpi ibunya datang kepadanya dengan memakai telekung putih. “Anakku bawang Merah! Mak telah mati ditolak ke dalam perigi lama oleh Mak Bawang Putih semasa mak menceduk air. Mak tidak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu terhadap Mak. Ingatlah anakku, kau jagalah diri mu dari telatah Mak Bawang Putih yang ganas itu. Sekarang Mak hendak pergi dahulu. Kau tinggallah baik-baik.”

Sebaik sahaja emaknya meminta diri, Bawang Merah pun terjaga dari tidurnya. Dia memandang sekeliling mencari-cari emaknya. Mulutnya memanggil-manggil “Mak…….Mak.”
Namun tidak ada jawapan, barulah dia sedar rupanya dia bermimpi, dia menangis sekuat-kuat hatinya kerana dia pecaya segala kata-kata dalam mimipinya tadi dan tambahan pula dengan sikap Mak Bawang Putiah yang memukulnya dan meninggalkannya itu.
Esoknya, pagi-pagi lagi dia pergi ke perigi tersebut. Tanpa disedari air matanya membasahi kedua belah pipinya sambil mulutnya bersuara. “Mak……..Mak.”
Sedang Bawang Merah bersedih memerhati ke dalam perigi itu, dengan kehendak Allah tiba-tiba timbullah seekor ikan kaloi. Ikan itu boleh berkata-kata:“Wahai anakku Bawang Merah. Akulah mak engkau. Mak telah mati ditolak ke dalam perigi ini oleh Mak Bawang Putih. Engkau datanglah bermain dengan mak pada tiap-tiap hari. Bawalah makanan untuk mak sekepal nasi melukut dan sayur keladi.” Kemudian ikan itu tidak dapat berkata lagi untuk selama-lamanya.

Setelah itu Bawang Merah pun pulang ke rumah. Bila sampai di rumah didapati Mak Bawang Putih dan Bawang Putih sudah menunggu dengan muka bengis.
“Ke mana engkau pergi?”

Mak cik, saya sedang mencari mak saya,” jawab Bawang Merah.

“Mak engkau sebenarnya telah mati kerana jatuh ke dalam perigi. Aku telah berusaha hendak menolongnya tetapi tidak terdaya,” jawab Mak Bawang Putih berbohong.

Bawang Merah tidak berkata apa-apa. Dia tidak percaya dengan kata-kata Mak Bawang Putih. Dia yakin dengan mimpinya malam tadi dan percakapan ikan kaloi di perigi sebentar tadi.
“Lekas pergi ke dapur dan masak untuk kami. Ingat! Mulai hari ini kami berdua menjadi raja dalam rumah ini, kami tidak mahu membuat apa-apa kerja. Segala kerja seperti memasak, mencuci kain dan mengemas rumah adalah tugas engkau!” beritahu Mak Bawang Putih dengan sombong.
Bawang Merah terpaksa menurut sahaja perintah itu. Tiap-tiap hari tidak ada peluang langsung dia hendak berehat, asyik dengan membuat kerja sahaja.

Bagaimanapun pagi-pagi lagi sebelum Mak Bawang Putih dan Bawang Putih bangun dari tidur, dia sudah pergi ke perigi. Lalu dia bergurindam memanggil ibunya:
“Mak….Mak…..Ikan kaloi,

Timbullah Bawang Merah datang,

Nasi melukut sayur keladi,

Untuk mak makan di pagi hari.”
Sebaik sahaja Bawang Merah bergurindam, ikan kaloi itu pun timbul lalu Bawang Merah pun memberi makan. Setelah selesai Bawang Merah pun pulang.

Pada mulanya perkara itu tidak diketahui oleh sesiapa. Dua minggu selepas itu, rahsia itu pecah juga. Pagi itu Bawang Putih bangun dari tidur terlebih awal kerana hendak membuang air kecil. Selepas buang air, dia terdengar suara orang bergurindam. Perlahan-lahan dia mengintai di sebalik semak.
“Oh, di sini rupanya si Bawang Merah datang hari-hari. Akan aku perhatikan apa yang dibuatnya disini.” bisik Bawang Putih.

Dia dapat melihat dan mendengar segala-galanya yang berlaku. Lantas dia cepat-cepat pulang dan mengadu kepada emaknya.
“Oh begitukah? Nanti aku akan tangkap ikan itu!” kata mak Bawang Merah.Segala rangkap gurindam itu dihafal oleh Mak Bawang Putih. Pada waktu tengah hari ketika Bawang Merah sedang bekerja di rumah, Mak Bawang Putih pergi ke perigi itu dan membawa sekepal nasi melukut dan sayur keladi. Mak Bawang Putih pun bergurindam:
"Mak….Mak…..Ikan kaloi,
Timbullah Bawang Merah datang,
Nasi melukut sayur keladi,
Untuk mak makan di pagi hari.”
Ikan itu tidak timbul. Mak Bawang Putih bergurindam lagi. Tidak timbul juga. Kemudian Bawang Putih pula yang bergurindam. Tidak juga timbul. Bawang Putih bergurindam lagi. Barulah ikan itu timbul. Sebaik sahaja ikan itu timbul, ikan itu pun disauk dengan penyauk. Secara diam-diam mereka membawa balik ikan itu.
“Bawang Merah, tengah hari ini biarlah Mak Cik masak. engkau pergi cari kayu api,” katanya kepada Bawang Merah.
“Baiklah Mak Cik.”
Sepeninggalan Bawang Merah, Mak Bawang Putih pun menggulai ikan itu. Bila Bawang Merah pulang dari mencari kayu api, dia terus dipelawa makan nasi berlaukkan ikan gulai tadi. Berselera sekali nampaknya dia memakan ikan itu.
Keesokkan paginya seperti biasa Bawang Merah pergi ke perigi untuk memberi iakn kaloi itu makan. Dia bergurindam. Tapi berkali-kali dia mengalunkan gurindam ikan kaloi itu tidak timbul-timbul. Dia pun menangis teresak-esak kerana ikan kaloi tidak lagi timbul. Sedang dia menangis tiba-tiba terdengar satu suara ghaib …

“Tidak usahlah engkau menangis Bawang Merah. Ikan kaloi sudah ditangkap oleh Mak Bawang Putih dan sudah dibuat gulai yang engkau makan semalam. Dan sekarang engkau carilah tulang-tulangnya dan tanamlah.” kemudian suara itu pun hilang.

Sebaik saja suara itu ghaib, Mak Bawang Putih datang dari arah belakang dan memukulnya dengan kayu.

“Anak sial! Apa yang engkau buat di tepi perigi ini? Oh, engkau hendak berjumpa mak engkau ikan kaloi itu ya! Semalam yang engkau makan itulah ikan kaloi mak engkau! Lekas balik ke rumah dan masak nasi” herdik Mak Bawang Putih.
Setelah selesai memasak nasi, dengan senyap dia turun ke bawah rumah untuk mencari tulang-tulang ikan itu. Puas dia mencari, barulah berjumpa tulang-tulang itu dihimpun dan ditanam di atas bukit jauh sedikit dari rumahnya. Atas kehendak Allah Taala, dalam masa sebulan sahaja tukang-tulang ikan itu menjadi sepohon pohon beringin yang rendang. Dia menggantungkan buaian di dahan pohon itu. Ketika ada masa lapang, dengan diam-diam dia bermain buaian disitu. Sambil berbuai dia akan menyanyi:
Tinggi-tinggi pohon beringin
Kalau tinggi menyapu awan
Kalau rendah menyapu bumi
Laju-laju buai laju
Bertiuiplah angin bayu-bayu
Tolonglah aku yatim piatu

Dengan berbuat demikian dapatlah juga meghiburkan hatinya yang sedang gelisah. Pada ketika itu ada seorang raja sedang berburu. Baginda diiringi oleh beberapa oranghulubalangnya. Sudah dua hari dua malam baginda berburu tetapi tidak mendapat seekor binatang buruan pun. Namun begitu baginda tetap sukacita. Perangainya berbeza dari biasa. Biasanya kalau dalam keadaan begitu baginda sangat murka dan terus mengajak pengiring-pengiringnya pulang sahaja. Perubahan perangai baginda itu sangat luar biasa.

Pada pagi yang ketiga mereka berburu lagi. Tiba-tiba melintas di hadapan baginda seekor rusa. Dengan pantas baginda memanah tetapi tidak kena. Biasanya kalau seperti itu, rusa itu sudah tentu terkena anak panah baginda.

Baginda memerintah hulubalang-hulubalangnya mengejar rusa itu sambil mencari binatang buruan yang lain. Namun segala-galanya hampa. Sedang mereka berjalan-jalan, salah seorang hulubalang mendengar suara seorang perempuan menyanyi.
Datuk Mentericuba dengar suara perempuan sedang menyanyi!” kata hulubalang kepada Datuk Menteri.

“Mengarut engkau ini. Dalam hutan begini mana ada perempuan menyanyi!” jawab Datuk Menteri.

“Cuba Datuk dengar sendiri.”

“Jangan-jangan suara hantu!” kata Datuk Menteri.

Mereka bersepakat hendak menghampiri ke tempat suara itu, akhirnya mereka dapat melihat penyanyi itu ialah Bawang Merah. Kerana wajah Bawang Merah yang sangat cantik mereka berpakat hendak mempersembahkan pertemuan itu kepada tuanku kerana tuanku raja masih belum beristeri.

Bawang Merah terasa dirinya sedang diintai. Dia pun cepat-cepat lari pulang. Dua orang hulubalang tadi mengekori Bawang Merah secara sulit untuk mengetahui rumahnya.

Kemudian mereka pun persembahkan perkara itu kepada baginda. Baginda sangat senang hati mendengar cerita itu. Mereka pun beramai-ramai pergi ke rumah Bawang Merah.
“Assaalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”jawab Mak Bawang Putih.
“Tuan hamba, sebentar tadi kami melihat ada seorang gadis cantik sedang bermain buaian di bukit sana.” Kata Datuk Menteri.
“Gadis cantik? Oh..memang ada dia anak patik,” jawab Mak Bawang Putih.
Maka mak Bawang Putih pun memanggil Bawang Putih keluar untuk mengadap Datuk Menteri.
“Bukan ini. Yang lain. Dia lebih cantik!” jawab Datuk Menteri.
“ Yang seorang lagi ada tapi dia orang gaji patik” jawab Mak Bawang Putih.
Bila mak Bawang Putih menarik Bawang Merah mengadap Datuk Menteri tiba-tiba Datuk Menteri menjerit.
“Haa inilah orangnya! Dialah yang berbuai dan menyanyi dengan merdunya!”
“Menyanyi?” fikir Mak Bawang Putih.
“Tuanku, kalau dalam soal menyanyi anak patik Bawang Putih lagi pandai.”
Untuk itu baginda sultan hendak membuat ujian di hadapan orang ramai. Mula-mula Bawang Putih dahulu yang menyanyi. Bawang Putih belum pernah menyanyi dan menaiki buaian lalu merasa kekok sekali. Hendak naik ke atas buaian pun teragak-agak. Kemudian dia pun menyanyi. Suaranya sumbang dan tidak ada irama langsung. Senikatanya pun tidak ada erti langsung.
Tiba pula giliran Bawang Merah. Secara senang sahaja dia menaiki buaian. Buaian itu tidak perlu dihayun. Ia berbuai sendiri semakin lama semakin laju. Nyanyiannya pula sangat merdu. Sama seperti yang di dengar oleh Datuk Menteri dan hulubalang-hulubalang. Dengan itu baginda sultan pun bersetuju menjadikan Bawang Merah permaisuri baginda.
“Apakah ini orang gaji Mak Cik?” tanya baginda.
“Ampun tuanku, sebenarnya dia ini anak tiri patik. Walaupun anak tiri, patik menjaga seperti anak sendiri”.
Akhirnya berkahwinlah Bawang Merah dengan tuanku. Dia pun menjadi isteri kesayangan baginda dan telah berpindah di istana baginda. Walaupunbegitu Bawang Merah tetap tidak menyisihkan Mak Bawang Putih dan Bawang Putih. Mereka tetap diajak tinggal bersama di istana.

Walaupun dapat tinggal di istana dengan segala kemudahan disediakan, namun iri hati dan jahatnya masih membara. Mak Bawang Putih ingin melihat Bawang Merah bercerai dengan baginda sultan dan mengambil anaknya Bawang Putih sebagai ganti.

Contoh Cerita Jenaka

Cerita Pak Kaduk


Pak Kadok tinggal di negeri Chempaka Sari di mana raja negeri itu bergelar Indera Sari. Baginda cukup gemar menyabung ayam. Pada suatu hari, Raja Indera Sari mahu adakan pesta menyabung ayam dan Pak Kadok hendak mengambil bahagian dalam pesta itu. Penduduk sering berkata ayam sabung Pak Kadok, Biring Si Kunani itu bertuah kerana ayam itu pasti menjadi juara. Pak Kadok membeli kertas dan menyuruh isterinya membuat baju dan seluar untuk ke pesta itu. Walaupun Pak Kadok miskin tetapi dia tetap suka bergaya. Mak Siti Segera menggunting baju dan seluar kertas itu. “Tak usahlah dijahit, pakai pelekat saja,” kata Pak Kadok.

Mak Siti mengikut sahaja kata suaminya itu dan selepas siap Pak Kadok pun memakai baju dan seluar kertas itu. Di atas kepalanya Pak Kadok memakai tengkolok helang menyonsong angin. Pak Kadok nampak bergaya sekali dan tampak kacak seperti juara yang mahir dalam hal sabung-menyabung ayam. Pak Kadok menangkap ayamnya Biring Si Kunani dan menuju ke gelanggang raja untuk menyabng ayam dengan raja.

Pak Kadok pun dititah mengadap sebelum bermula. Baginda bertitah, “Hai Pak Kadok, mari kita bertukar ayam. Ambillah ayam beta ini, elok, cuba lihat romannya jalak putih mata, dan ayam Pak Kadok, Biring Si Kunani sahaja tiada berapa tuahnya,” titah baginda pula. Pak Kadok terharu mendengar kata-kata baginda itu maka tanpa berfikir panjang Pak Kadok pun setuju bertukar ayam dengan baginda raja. Baginda begitu gembira kerana dapat ayam Pak Kadok kerana baginda tahu ayam itu ayam yang bertuah.

Maka titah baginda, "Hai Pak Kadok, apakah taruhnya kita menyambung ayam ini?"
Pak Kadok pun berkata, "Ampun Tuanku patik bukanya berharta yang patik ada cuma perkampungan patik saja. Maka jika tidak keberatan izinkan patik gadaikan kampung untuk taruhan kali ni."
Baginda pun bersetuju dengan taruhan Pak Kadok itu. Masing-masing pun melepaskan ayam. Bermula sabung menyabung antara Biring Si Kunani dan Jalak Putih dengan sengit sekali. Jalak Putih cuba untuk membalas serangan dari Biring Si Kunani tetapi tewas juga, Jalak Putih tersungkur di tengah gelanggang.

Melihat situasi tersebut Pak Kadok bertepuk sorak, sambil melompat-lompat. Pak Kadok terlupa yang dia telah bertukar ayam dengan baginda tuanku dan kerana melompat-lompat terlalu kuat, baju dan seluar kertas Pak Kadok habis koyak-robak.

Orang ramai menjadi riuh rendah melihat Pak Kadok bertelanjang bogel di tengah gelanggang dan kerana berasa amat malu dia terus lari pulang.

“Malang Pak Kadok, ayam menang, kampung tergadai!” baginda titah.

Contoh Cerita Binatang

Cerita Sang Kancil dengan Buaya



Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan datangkepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.

Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediama
nnya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.

Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah
 enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang Kancil.

Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menja
di kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".

Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terda
pat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana".

Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghit
ung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman". 

Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.

Fungsi Cerita Binatang

1.         Sebagai hiburan

Cerita binatang amat digemari oleh kanak-kanak kerana di dalamnya terselit kisah-kisah kepintaran binatang dalam menyelesaikan masalah sehingga menimbulkan kelucuan. Di sini jelas menunjukkan funsi hiburan apabila pendengar mengikuti cerita binatang. Kepintaran binatang lebih ketara apabila binatang kecil dapat mengalahkan binatang yang lebih besar. Contonya, dalam Cerita Katak Membunuh Gergasi, di mana seekor semut menggigit telinga gergasi sehingga membuatkan gergasi itu meronta-ronta kesakitan.

2.        Sebagai Pengajaran

Cerita binatang biasanya mempunyai pengajaran tertentu kerana sifat-sifat yang diberikan kepada binatang adalah sama seperti manusia. Oleh itu, segala tindakan yang dilakukan oleh binatang adalah sama seperti manusia. Jadi, segala tindakan yang dilakukan oleh binatang boleh dijadikan sebagai pengajaran kepada manusia.

Contohnya dalam cerita Katak Membunuh Gergasi dimana menunjukkan nilai kerjasama yang ditunjukkan oleh binatang dapat menyelesaikan sesutu masalah. Hal ini jelas menunjukkan apabila semua binatang(dalam hutan) berkerjasama dengan katak dalam rancangan membunuh Gergasi.

3.        Sebagai Kritikan/sindiran

Hal ini berkaitan dengan sifat-sifat buruk yang cuba ditonjolkan oleh binatang yang sebenarnya mempunyai sindiran /kritikan secara halus. Sindiran ini disampaikan secara tidaklangsung kepada pembaca.

Contohnya, dalam Cerita Katak Membunuh Gergasi dimana menyindir orang yang berkuasa akan jatuh pada masanya apabila melakukan kejahatan.

4.         Sebagai gambaran masyarakat

Cerita binatang menggambarkan hidup dalam kelompok masyarakat binatang tetapi digambarkan menyerupai manusia. Oleh itu, melalui cerita-cerita ini dapat digambarkan tentang kehidupan masyarakat pada zaman tersebut.

Ciri/sifat umum Cerita Binatang

1.        Isi karya

Mana-mana cerita binatang, isi karyanya adalah mengenai binatang-binatang yang diberikan sifat-sifat manusia biasa. Binatang-binatang ini biasanya digambarkan hidup dalam suatu kelompok dan boleh bertutur, berfikir atau bertindak seperti manusia.

Contohya jelas dalam Hikayat Sang Kancil dimana isi karyanya adalah mengenai binatang yang diberi sifat seperti manusia biasa. Cerita binatang ini mengambil watak pelaku yang diberi sifat manusia seperti bertutur, berfikir dan memainkan peranan yang tertentu.

2.         Plot/susunan cerita

Bagi mana-mana cerita binatang, plot/susunan ceritanya tersusun dengan teratur kerana cerita akan bermula dengan bahagian pengenalan diikuti dengan bahagian perkembangan cerita dan diakhiri dengan bahagian penyelesaian cerita. Setiap cerita binatang mempunyai masalah yang diselesaikan yang tertumpu di bahagian perkembangan cerita. Bahagian penyelesaian cerita biasanya watak utama berjaya menyelesaikan masalah tersebut.

Terdapat sesetengah cerita binatang yang mempunyai episod/siri tertentu. Setiap episod dalam cerita ini merupakan sebuah cerita yang lengkap iaitu bermula dengan bahagian pengenalan, bahagian perkembangan dan bahagian akhir. Walau bagaimanapun, watak utama dalam siri/episod ini masih pada binatang yang sama. Hal ini jelas dalam cerita Hikayat Sang Kancil dan Hikayat Pelanduk Jenaka.

Kesimpulannya, plot bagi cerita binatang terdiri daripada 3 bahagian iaitu:
a.                  ~   Bahagian pengenalan
b.                ~    Bahagian perkembangan
c.                 ~     Bahagian penyelesaian

Contohnya jelas dalam cerita Katak Membunuh Gergasi. Plotnya bermula apabila Gergasi membuat kekacauan di dalam hutan sehingga menganggu kehidupan haiwan-haiwan lain. Cerita terus berkembang apabila katak merancang untuk membunuh Gergasi apabila berlaku kematian dalam kalangan kelompoknya ketika Gergasi cuba melarika diri ke hutan kerana kuatir rumahnya akan runtuh. Cerita ini tamat apabila, Katak dan rakannya berjaya membunuh Gergasi tersebut.

3.          Watak dan perwatakan

Secara keseluruhannya, mana-mana cerita binatang, watak-watak yang memainkan peranan penting ialah binatang. Binatang ini diberi sifat seperti manusia biasa, hidup dalam kumpulan dan mempunyai peranan masing-masing. Dari sini, lahirlah watak utama dan juga watak sampingan dalam cerita binatang. Dalam masyarakat Melayu Tradisional, watak binatang yang paling popular ialah Sang Kancil dan Pelanduk. Watak ini berperanan sebagai watak utama dalam cerita tersebut.

Selain watak binatang, terdapat juga watak manusia untuk membantu perkembangan cerita tetapi watak manusia ini tidak diutamakan. Selain itu, terdapat juga sesetengah cerita yang menggambarkan watak nabi iaitu Nabi Sulaiman a.s. yang dikatakan memahami bahasa binatang.

Contohnya jelas dalam cerita Katak Membunuh Gergasi. Watak utamanya merupakan seekor binatang iaitu Katak yang digambarkan mempunyai akal fikiran yang bijak apabila merancang membunuh gergasi. Manakala, watak sampingan dalam cerita ini harimau, ular dan sebagainya yang turut membantu dalam rancangan katak membunuh gergasi.

4.        Latar

Latar temapat bagi cerita binatang adalah melibatkan latar di hutan belantara atau kawasan-kawasan yang berkaitan dengan tempat tinggal binatang tersebut. Hal ini bermakna latar tempat bagi cerita binatang adalah di alam nyata. Latar masanya adalah melibatkan zaman dahulu dan latar masyarakatnya adalah merangkumi masyarakat masyarakat/kelompok binatang yang biasanya mempunyai ketua.

Contohnya jelas dalam Cerita Katak Membunuh Gergasi di mana latar tempatnya adalah di dalam hutan belantara yang merupakan kawasan tempat tinggal binatang-binatang tersebut. Manakala, latar masanya adalah pada zaman dahulu dan latar masyarakanya melibatkan sekelompok binatang yang terdiri daripada seorang ketua (katak) yang mempunyai kepintaran dalam membunuh gergasi.

5.        Gaya bahasa

Cerita binatang menggunakan bahasa Melayu klasik tetapi bahasanya mudah difahami. Kadang-kadang diselitkan dengan beberapa puisi Melayu lama. Hal ini dikaitka dengan cerita binatang lebih dikhususkan pada peringkat kanak-kanak.


Contohnya:
Maka sempah Raja Gajah "Ya Tuan Syeikh, bilakah kiranya binatang-binatang itu akan sampai ke mari".

Jenis/corak Cerita Binatang


  Cerita asal usul

      Cerita binatang ialah cerita yang menerangkan asal-usul kejadian sesuatu sifat yang dimiliki oleh binatang tertentu. Contohnya, Cerita Anjing Bermusuhan Dengan Kucing, Mengapa Harimau Berbelang dan Mengapa Burung Puyuh Tidak Mempunyai Ekor.

      Cerita fable
      
      Merupakan cerita yang bercorak teladan dan mengandungi kritikan secara tidak langsung terhadap masyarakat. Contohnya Cerita Arnab dengan Kura-Kura, Anjing dengan Bayang-bayang, Katak Membunuh Gergasi, Gajah dengan Harimau dan sebagainya.

 Cerita epik

      Cerita binatang bermotifkan kebijaksanaan untuk memperdayakan lawannya. Binatang ini dianggap bijak dan pintar berbanding dengan binatang-binatang lain. Dalam masyarakat Melayu Tradisional, cerita epik adalah paling popular kerana berdasarkan ceritanya seperti Hikayat Sang Kancil, dan Hikayat Pelanduk Jenaka.

      Bagi Hikayat Sang Kancil terdapat beberapa cerita/kisah dalam karya ini:
a.                    ~     Sang Kancil Menipu Buaya
b.                   ~     Sang Kancil Menipu Harimau                                     
c.                     ~      Sang Kancil Berlawan Minum Air dengan Gajah.
d.                    ~     Sang Kancil menyelesaikan pergaduhan antara Kerbau dengan Buaya
e.                     ~     Sang Kancil menyelesaikan masalah peminjam beliung            
f.                     ~      Sang Kancil Menyelesaikan Perbalahan antara Saudagar 
g.                   ~      Sang Kancil Berlumba dengan siput         
h.                   ~      Sang Kancil tertipu dengan Buaya

Fungsi Cerita Lipur Lara

1.   Sebagai alat hiburan kerana tiada alternatif lain yang dapat memberikan kegembiraan kepada pendengar. Hal ini jelas apabila pendengar menghayati cerita yang cuba disampaikan oleh tukang cerita/Tok Selampit dengan gaya yang menarik. Gambaran kemewahan, kecantikkan dan kesaktian yang ada pada watak utama dapat menggambarkan rasa kesenangan dan ketenangan rakyat. Contohnya dalam Hikayat Malim Deman, pendengar rasa terhibur dengan ketampanan, kemewahan, kecantikkan dan kesaktian serta kebijaksanaan Malim Demam. Malim Demam berusaha mencari isterinya dan akhirnya mereka hidup bahagia di bandar Muar yang besar dengan mempunyai kerajaan yang besar.

2.   Sebagai pengajaran. Contohnya pengajaran boleh diambil dari sikap Malim Deman yang leka dan suka bersuka ria dengan wanita lain telah mendapat anak Raja Puteri Bongsu menyebabkan dia terpaksa mengembara buat kali kedua iaitu ke kayangan untuk membawa balik isterinya yang merajuk.

3.   Memberi kritikan kepada pendengar/pembaca iaitu mengkritik sikap-sikap yang tidak baik yang ada dalam masyarakat terutamanya golongan atasan/raja. Contohnya, elakkan sikap suka berjudi iaitu Malim Demam yang suka berlaga ayam dalam Hikayat Malim Demam.