1. Isi karya
Mana-mana cerita jenaka melayu, isi karyanya adalah mengandungi unsur kelucuan yang dapat menimbulkan gelak ketawa dalam kalangan pendengar/pembaca ceritanya. Kelucuan dalam cerita jenaka ini terhasil berdasarkan peristiwa atau sifat-sifat lucu yang terdapat dalam cerita tersebut. Kelucuan dalam cerita ini akan menimbulkan rasa geli hati dan seterusnya menimbulkan rasa gembirai dan seterusnya menghiburkan para pendengar/pembaca cerita jenaka.
Contohnya jelas ditunjukkan dalam cerita Pak Kaduk di mana isi ceritanya tentang kelucuan pada watak Pak Kaduk iaitu kelucuan semasa dia tidak boleh berfikir secara logik. Dia membuat keputusan untuk menukarkan ayamnya dengan ayam raja tanpa berfikir panjang. Selain itu, kelucuannya turut terserlah semasa dia bersorak semasa pertandingan menyabung ayam dan ayamnya telah menang sedangkan ayamnya telah ditukarkan dengan raja sebelum pertandingan itu berlangsung.
2. Plot/susunan cerita
Mana-mana cerita jenaka, plop ceritanya adalah tersusun bermula dengan bahagian permulaan cerita diikuti oleh perkembangan cerita dan diakhiri dengan bahagian penyelesaian cerita. Namun, terdapat sesetengah cerita jenaka yang mempunyai episod/siri tertentu dan setiap episod adalah sebuah cerita yang lengkap (ada bahagian awal, bahagian perkembangan dan bahagian akhir cerita. Walaubagaimanpun, watak utama dalam cerita tersebut masih menggunakan watak yang sama.
Contohnya pada cerita Pak Kaduk. Susunan plot bagi cerita tersebut bermula dengan Pak Kaduk yang tinggal keseorangan di desa telah menerima undangan daripada raja untuk menyabung ayam. Ceritanya terus berkembang apabila Pak Kaduk bersetuju untuk menukarkan ayamnya dengan ayam baginda. Semasa pertandingan, ayam Pak Kaduk telah menang dan dia telah bersorak keriangan sedangkan dia lupa bahawa ayamnya telah ditukarkan dengan ayam raja. Ceritanya diakhiri dengan nasib malang Pak Kaduk yang jelas dilihat pada kekalahannya menyabung ayam dengan raja.
3. Watak dan perwatakan
Biasanya dalam cerita jenaka, watak utamanya adalah dari golongan bawahan/rakyat biasa. Nama watak yang diberikan adalah melambangkan sesuatu sifat. Contohnya:
a. Sifat bodoh-sial yang terdapat pada watak Lebai Malang
b. Sifat pintar-bodoh terdapat pada watak Pak Kaduk
c. Sifat pintar terdapat pada watak watak Si Luncai dan Pak Belalang
Selain watak utama dalam cerita jenaka Melayu terdapat juga watak-watak lain sebagai pembantu dan juga memberi gambaran yang lebih jelas tentang masyarakat Melayu Tradisional. Dalam sesetengah cerita jenaka Melayu terdapat juga penggunaan watak raja tetapi watak raja tidak diberi keutamaan dan tidak ada sifat-sifat luar biasa pada raja.
Dalam cerita jenaka Melayu juga, gambaran atau perwatakan watak adalah dinyatakan secara jelas terutama dari segi gambaran fizikal untuk melahirkan unsur lucu. Contohnya gambaran fizikal bagi watak Si Luncai yang digambarkan mempunyai punggung tonggek, perutnya yang besar, kepalanya botak dan pendek. Gambaran ini menambahkan lagi unsur humor dalam cerita tersebut.
4. Latar
Latar tempat bagi mana-mana cerita jenaka Melayu adalah berlaku di bumi nyata kerana cerita jenaka hanya melibatkan golongan biasa/bawahan iaitu golongan petani dan juga nelayan. Namun, terdapat sesetengah cerita jenaka yang mengaitkan sedikit latar di istana. cerita jenaka juga mengambil masa yang pendek/singkat sahaja.
Latar masa bagi cerita jenaka melayu ialah zaman dahulu kala. Manakala, latar masyarakatnya pula lebih menekankan golongan bawahan dan digambarkan mereka hidup dalam satu kelompok.
Contohnya dalam cerita Pak Kaduk, di mana latar tempatnya adalah di sebuah desa yang merupakan tempat tinggal Pak Kaduk iaitu di perkampungan masyarakat Melayu Tradisional dan di kawasan istana raja.
5. Gaya bahasa
Menggunakan bahasa Melayu klasik tetapi bahasanya mudah difahami. Hal ini dikaitkan dengan cerita jenaka yang dikhususkan untuk peringkat kanak-kanak.
Contohnya jelas dalam cerita Pak Belalang yang menggunakan bahasa Melayu klasik tetapi mudah difahami. Antara bahasa klasik yang digunakan ialah “ada yang mercuri parit, membaiki batas-batas mana-mana yang parit dirosak”.
Selain itu, terdapat penggunaan bahasa arab dalam cerita tersebut. Contohnya maka sembah pak Belalang “Daulat Tuanku, titah Patik junjung, Allah Ta’ala...”
0 comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.