Ads 468x60px

Pages

Sunday, 20 November 2011

Contoh Cerita Lipur Lara

Hikayat Malim Deman

Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri Tuan Puteri Lindungan Bulan memerintah negeri Bandar Muar. Mereka mempunyai seorang putera, Tuanku Malim Deman. Pada suatu malam, Tuanku Malim Deman bermimpi didatangi seorang wali Allah menyuruh baginda pergi ke hulu negeri berjumpa dengan Nenek Kebayan untuk beristerikan Puteri Bongsu daripada tujuh beradik dari kayangan yang akan turun ke dalam taman nenek memetik bunga mengarang kuntum pada setiap malam purnama.
Sedar dari beradu, Tuanku Malim Deman berubah menjadi seorang yang gila bayang. Seisi istananya kehairanan terutama pengasuhnya, Si Kembang Cina. Baginda memohon pekenan ayah dan bondanya untuk pergi berburu ke hulu negeri. Pada mulanya Tuanku Malim Deman diiringi sekalian ramai hulubalang dan rakyat jelata. Namun mereka tewas; akibat kebuluran, penyakit, sesat dan berpatah balik. Akhirnya tinggallah Tuanku Malim Deman, Awang Selamat dan anjingnya Si Kumbang. Awang Selamat jatuh sakit dan meninggal dunia dalam perjalanan, Si Kumbang pula mati lemas. Tinggallah Tuanku Malim Deman sendirian menempuhi berbagai-bagai kesusahan dan penderitaan sehingga menemui sebiji batil emas hanyut berisi sebentuk cincin dan sehelai rambut. Semua ini milik Puteri Bongsu dari kayangan yang berkata barang sesiapa yang menemui batil tersebut ialah jodohnya. Sebenarnya puteri ini telah ditunangkan dengan Medan Si Tangkal Ali tetapi tidak disukainya.
Tuanku Malim Deman menemui Nenek Kebayan dan dengan helah mereka baju layang Puteri Bongsu diambil oleh Tuanku Malim Deman. Akhirnya Tuanku Malim Deman membuka rahsia batil emas dan apa tujuan sebenar kedatangannya. Mereka dikahwinkan oleh Betara Guru di rumah Nenek Kebayan. Kepulangan Tuanku Malim Deman membawa isteri disambut penuh meriah dan kebesaran oleh kedua orang tuanya, lalu diadakan kenduri kahwin besar-besaran. Rakyat negeri Bandar Muar mengadakan pesta selama tiga bulan sebagai tanda kesyukuran dan Tuanku Gombang Malim Dewa sendiri berkenduri membayar nazarnya.
Tuanku Gombang Malim Dewa dan permaisuri mangkat selang seminggu, taktha kerajaan diserahkan kepada Tuanku Malim Deman. Malangnya, Tuanku Malim Deman tidak cekap memerintah negeri. Baginda asyik dengan persabungan dan berfoya-foya dengan wanita sehingga melupakan urusan negeri dan permaisurinya. Sehinggalah Puteri Bongsu berputerakan Tuanku Malim Dewana pun, baginda tidak sudi pulang menjenguk bayinya itu. Setelah Tuanku Malim Dewana boleh berjalan, jatuh bangun, Puteri Bongsu terpandang baju layangnya dahulu. Lantas diambil, sambil mendukung putera kecilnya, ia terbang melayang pulang ke kayangan. Disambut oleh kedua-dua orang tuanya dengan rasa curiga. Setelah diketahui kedudukan sebenar, Puteri Bongsu ditunangkan dengan Mambang Molek seorang raja kayangan juga.

Setelah kehilangan isteri dan anak barulah Tuanku Malim Deman insaf dan menyesal akan perbuatannya selama ini. Baginda mengembara semula sehingga sampai semula ke rumah Nenek Kebayan. Baginda meminta bantuan nenek itu untuk berjumpa dengan keluarganya kembali. Nenek memberitahu baginda bahawa hanya burung borak sahaja yang mampu membawa baginda ke kayangan. Akan tetapi Nenek Kebayan tidak ketahui di mana burung tersebut berada untuk meminjamkan kepada baginda.

Tuanku Malim Deman meneruskan perjalanan dan pada suatu malam, sewaktu terlena di banir pokok, baginda bermimpikan kemunculan seorang wali Allah menyuruh baginda mengikut hulu sungai sehinggalah bertemu dengan Puteri Terus Mata anak Raja Jin Islam. Baginda sempat bertaubat di hadapan wali tersebut. Terjaga atau beradu, baginda menuruti pesanan wali Allah dalam mimpinya. Tuanku Malim Deman meminjam burung borak milik Puteri Terus Mata, untuk berlepas ke kayangan setelah menerima syarat daripada ayahanda Puteri Terus Mata, iaitu Raja Jin Islam supaya mengahwini puteri apabila pulang ke dunia semula. Baginda juga sempat berguru kepada Raja Jin Islam tentang segala ilmu dan hikmat bekalan cabaran di kayangan kelak. Puteri Terus Mata turut memberi tujuh kapur sirih hikmat kepada baginda untuk disantap juga mengatasi tujuh lautan halangan, lautan gelap, api, sejuk, kuning, hijau, masin dan bisa. Kemenyan mandung jati turut dibekalkan untuk menyeru kehadiran burung borak apabila baginda hendak pulang ke dunia semula.

Baginda tiba di rumah Nenek Kebayan di kayangan dan dilayan dengan penuh mesra. Baginda perkenalkan diri sebagai Malim Permainan kerana berkebolehan luar biasa bermain muzik. Malim Permainan hadir ke balai perkarangan istana lalu bermain muzik untuk menghiburkan puteranya Malim Dewana. Walaupun putera itu tidak mengenalinya, namun naluri hubungan ‘anak-bapa’ menyebabkan putera sering berada di atas ribaan sambil berhibur dengan permainan muzik oleh baginda. Dari bau minyak silompat pagar yang melekat pada tubuh puteranya, tahulah Puteri Bongsu bahawa Malim Permainan itu suaminya kerana minyak itu ditinggalkan sewaktu ke kayangan. Malim Permainan (Tengku Malim Deman) menyuruh Nenek Kebayan jualkan cincinnya kepada Puteri Bongsu kerana ‘kesuntukan belanja’. Puteri Bongsu membuka rahsia kepada Nenek Kebayan dan meminta Malim Permainan(Tengku Malim Deman) merebutnya semula daripada tangan Mambang Molek.
Tengku Malim Deman akhirnya dapat membunuh Mambang Molek di gelanggang sabung ayam. Dua orang saudaranya yang cuba menuntut bela juga terbunuh dan negeri menjadi huru-hara kerana rakyat Mambang Molek bertempur sesama sendiri kerana hikmat wali Allah. Tengku Malim Deman dikahwinkan sekali lagi dengan Puteri Bongsu di atas kayangan.
Setahun kemudian Tengku Malim Deman membawa Puteri Bongsu dan puteranya pulang ke Bandar Muar. Berkahwin dengan Puteri Terus Mata, puteri Raja Jin Islam sebagai menunaikan janji dan Tengku Malim Deman menjadi raja yang arif bijaksana serta pula gagah berani yang terlalu saktinya tiadalah berbanding zaman itu.

 (Dipadankan daripada Hikayat Malim Deman, Pawang Ana/Raja Haji Yahya, Fajar Bakti 1998)

0 comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.